Jering sambal balado ini memang terkenal akan kesedapannya. Bagi yang pernah makan, pasti teringat-ingat akan kesedapannya. Betul tak?
Sis Wa mula ‘kenal’ dengan masakan berasaskan jering ni sejak bertemu jodoh dengan En Suami yang berketurunan dari Padang, Sumatera Indonesia. Kedua belah keluarga mak mentua dan bapa mentua memang berasa dari sana. Jadi, sudah tentulah cara masakan mereka mempunyai pengaruh besar dengan masakan Padang yang kaya rempah ratus dan pedasnya!
Dulu Jering Sekadar Dibuat Ulam
Eh, bukan bermakna dulu sis Wa langsung tak kenal jering. Duduk kampung, di Terengganu..takkan tak kenal jering. Menipu namanya tu!
Cuma dulu, jering sekadar dibuat ulam bila dimakan dengan budu, atau direbus dan dimakan dengan kelapa parut. Ha…itu je.
Tapi, tak pernah terfikir nak masak lemak cili padi ke..nak buat sambal ke…nak buat rendang ke…Tak terlintas langsung!
Bila kahwin, baru tahu banyak cara masakan boleh menggunakan jering di kalangan orang Padang. Kalau ke kedai masakan Padang asli, gerenti ada masakan jering! Cuba perhati.
Sis Makan Jering, Tapi Taklah Favourite…
Terus terang, sis Wa tak gemar sangat jering. Bukan berlagak ye. Tapi dari dulu agak ‘kureng’ berbanding petai. Kalau makan pun, yang muda dan tak begitu kuat rasa jeringnya.
Tapi, bila dah kahwin dengan En Suami yang memang kegemarannya jering, maka sis belajarlah masak jering. So far, masak sambal dan masak lemak cili padi dah lulus. Cuma rendang jering belum lagi.
Bercakap tentang jering, kalau nak buat sambal atau masak lemak cili padi, seeloknya kena cari yang betul-betul tua. Kalau muda tak menjadi kata suami.
Selalunya orang bimbang, jering tua tentu keras kan? Memang ye. Tapi ia akan lembut bila sudah dimasak dan ada cara-cara bagaimana nak lembutkan jering tua.
Petua Lembutkan Jering Tua
Ada petua nak lembutkan jering tua yang keras. Selalunya, kalau nak masak sambal atau masak lemak cili padi jering tua, sis ada beberapa teknik. Untuk masak lemak, sis akan rebus dulu jering itu. Selepas rebus, tumbuk hingga agak lembut (jangan sampai hancur). Kemudian baru dimasukkan ke dalam kuah.
Manakala, kalau nak masak sambal, biasanya akan rebus dan goreng dulu. Kemudian dimasukkan ke dalam sambal.
Oh ye, ada beberapa cara untuk hilangkan asid djengkolik di dalam jering. Antaranya, dengan merebus beberapa kali sehingga hilang baunya, merendam di dalam air garam selama beberapa jam kemudian merebusnya atau menanamnya di dalam tanah selama 14 hari, sehingga bercambah dan direbus.
Baca ini juga: Cara Hilangkan Bau Jering
Apa Khasiat Jering?
Jering yang dikenali dengan nama saintifiknya sebagai Archidendron pauciflorum, A. jiringa, Pithecellobium jiringa, dan P. lobatum adalah tumbuhan yang berasal dari rantau Asia Tenggara. Penduduk di bahagian Barat memanggilnya sebagai dog fruit.
Buah ini sangat popular di Malaysia (dipanggil sebagai jering), Myanmar (disebut “da nyin thee“), dan Thailand (disebut “luk-nieng” atau “luk neang“). Penduduk di Indonesia pula memanggilnya sebagai jengkol.
Di sebalik baunya yang kurang menyenangkan, terdapat beberapa faedah buah jering terhadap kesihatan yang kebiasaannya tidak diketahui oleh orang ramai.
Kajian telah menunjukkan bahawa buah jering mempunyai sifat antibakteria, antioksidan, anti-gastrik, antinematod, dan antidiabetes. Walau bagaimanapun, sebatian nitrogen yang terdapat dalam buah ini boleh menyebabkan djenkolisme. So, makan biarlah berpada-pada ye.
Untuk kali ini, sis sengaja tak goreng dulu jering itu. Sebaliknya direbus dan dipotong kecil-kecil.
Selain itu, bumbunya juga sis tak blender atau tumbuk, sebaliknya digiling agar teksturnya lebih kasar. Uih..mantap rasanya!
Boleh cuba resepi ini juga: Masak Lemak Cili Padi Jering
JERING SAMBAL BALADO
Bahan-Bahan Jering Sambal Balado:
1kg jering sudah cukup tua
100gm ikan bilis
1 keping asam gelugur
Garam dan gula secukupnya
Air
Minyak kelapa / minyak masak lain
Bahan Giling:
2 biji bawang merah
10-15 biji cili padi
15 batang cili merah besar
Cara Memasak Jering Sambal Balado:
Mula-mula, rebus jering hingga empuk. Angkat, tukar air dan rebus lagi. Sis rebus dua kali untuk hilangkan asid djengkolik dan kurangkan baunya yang menyengat. Kulit lembutnya akan tertanggal.
Kemudian hiris kecil-kecil jering, Ketepikan.
Panaskan minyak kelapa di dalam kuali. Goreng dahulu bahan untuk digiling tadi. Setelah layu, angkat dan toskan. Setelah itu, barulah digiling kasar.
Menggunakan minyak yang sama, goreng ikan bilis hingga garing, angkat dan toskan. Sis guna minyak kelapa kerana aromanya sangat sedap dan lebih menyihatkan. Kebetulan ada stok pula di rumah…:)
Setelah itu, tumis bahan giling hingga terbit wangi. Setelah itu, masukkan asam gelugur. Tumis sehingga cili masak sepenuhnya dan terbit minyak.
Masukkan pula jering yang sudah digoreng tadi. Perasakan dengan garam secukup rasa. Tutup api.
Biarkan seketika barulah masukkan ikan bilis yang telah digoreng tadi. Gaul rata. Ini bertujuan supaya bilis kekal rangup.
Siap. Sangat mudah kan? Rugi tak cuba!
Leave a Reply