Kawan-kawan yang baik juga satu rezeki. Betul tak? Bersyukurlah jika dikelilingi oleh rakan-rakan yang mengambil berat soal diri kita. Tak semua orang memilikinya.
Mungkin semasa belum berkahwin, kita memiliki ramai kawan. Namun, ada yang mengaku, selepas kahwin mereka hilang kawan. Sebabnya fokus pada rumah tangga dan anak-anak.
Definisi kawan dan sahabat kadangkala dianggap mengelirukan bagi sesetengah individu.
Berikut adalah definisi atau maksud yang diberikan untuk menterjemahkan erti sahabat, kawan, rakan dan kenalan.
Erti Sahabat
Sahabat bukan terdiri daripada adik-beradik yang ada hubungan darah tetapi berupaya mewujudkan hubungan yang mirip hubungan persaudaraan seperti adik-beradik. Mereka ini adalah orang yang banyak memberi manfaat dan kebaikan kepada kita.
Sahabat seorang yang setia dalam persahabatan, sering kali membantu apabila kita berada di dalam kesusahan, yang sanggup mendengar luahan hati kita saat sedih, bimbang dan mampu menyimpan rahsia dan aibkita. Mereka akan sentiasa melindungi kita umpama adik beradik sendiri.
Seorang yang bergelar sahabat tidak semestinya memiliki minat atau pendapat yang sama dengan kita, tetapi mereka akan sentiasa ada apabila kita memerlukannya. Mereka ini adalah orang yang kita akan rasa ‘selamat’ dan selesa untuk berdampingan, dan kita rasa boleh diharapkan.
Maksud Kawan
Kawan ialah seorang yang boleh berkongsi lebih dari satu perkara seperti minat, hobi, perasaan, perjuangan dan sebagainya biarpun bukan daripada organisasi yang sama. Kawan adalah orang yang selalu berinteraksi dengan kita dan mengenali banyak hal tentang diri kita.
Misalnya pernah berkongsi masa bersama, bergembira, berseronok dan sebagainya. Kawan biasanya terjadi apabila seseorang itu menemui individu yang lain, yang memiliki persamaan seperti hobi, minat, sikap, tabiat dan pemikiran yang sama dengan dirinya. Kita selalunya berasa seronok dan terhibur apabila berada bersama-sama kawan.
Mereka juga mungkin boleh berkongsi kesedihan dan kegembiraan dengan kita tapi hanya sekadar itu. Mereka takkan berjuang bersama kita. Malah, sekiranya tidak sependapat, hubungan kawan mungkin boleh terputus.
Apa Pula Erti Rakan?
Rakan ‘duduknya’ di antara kawan daan kenalan. Rakan ialah orang yang berkongsi minat, kerjaya, hobi, permainan, guru, kelas, matlamat dan sebagainya dalam satu organisasi atau kumpulan seperti persatuan, kelab, syarikat, pertubuhan dan sebagainya. Contohnya, ada rakan satu tingkatan, rakan satu sekolah, rakan satu kelab dan sebagainya.
Rakan biasanya orang yang boleh mewujudkan kerjasama. Contohnya boleh belajar bersama-sama dengan rakan sekelas, boleh membuat tugasan berkumpulan bersama-sama rakan satu tingkatan, bekerjasama dengan rakan-rakan sepasukan untuk menewaskan pihak lawan dalam pertandingan bola sepak, dan rakan-rakan sekerja mengadakan mesyuarat untuk syarikat kami dan sebagainya.
Ada rakan yang rapat, ada pula rakan yang boleh dianggap sebagai sahabat, ada pula rakan yang boleh dianggap sebagai kawan, dan ada pula rakan yang hanya boleh dianggap sebagai kenalan.
Yang Dikatakan ‘Kenalan’
Kenalan mungkin wujud sebagai rakan. Apabila kita mengenali seseorang dalam bentuk atau identiti tertentu, maka dia adalah kenalan.
Kenalan adalah orang yang pernah berinteraksi dengan kita tetapi tidak berkongsi terlalu banyak maklumat diri masing-masing. Mungkin kenalan yang dikenali ketika berjumpa di satu-satu aktiviti. Sebatas kenal saja. Tak saling tahu latar belakang masing-masing.
Untuk Sis? Sama Jer…
So, kesimpulannya; Ada yang menyebut sahabat..ada yang sebut rakan. Semua itu bagi sis, sama je. Kita pun biasa sebut ‘kawan’ je. Jarang kita kenalkan kawan-kawan sebagai “oh..kenalkan. Ini kenalan saya…” Biasa kita cakap; ” Kenalkan, ini kawan saya”.
Cuma kita sendiri yang akan membezakan dan kategorikan mereka itu di tahap mana. Sama ada sekadar kawan untuk ‘ngopi’, kawan pergi zumba, atau kawan yang kita akan minta tolong dan nasihat saat kita sedih dan susah.
Soal sebutan, tak penting pun.
Merujuk kepada kawan rapat atau kawan sejati, mereka itu merujuk kepada orang yang bukan memiliki sebarang hubungan darah atau kekeluargaan dengan kita.
Namun mereka inilah yang rapat, mengambil berat tentang kita, sentiasa mendoakan kita. Yang sentiasa ada bila diperlukan, susah senang bersama. Itulah peranan seorang kawan yang sejati.
Okay, sis nak kategorikan sendiri jenis kawan bagi pandangan sis pulak. Ini pandangan peribadi ye..tak semestinya korang pun akan bersetuju.
Kawan Sekerja
Biasanya kita kenal dan rapat kerana berada di bawah organisasi atau tempat kerja yang sama. Lama kelamaan akan makin rapat. Pergi makan tengah hari bersama, pergi kursus boleh tumpang dia, boleh bercerita soal kerja, kongsi rasa tak puas hati tentang bos/ofis dan macam-macam lagi.
Cuma, sebatas kawan di pejabat bila kita masih tak berani untuk berkongsi rahsia kita dengannya. Masih belum 100% percaya dia mampu simpan. Buatnya bergaduh, kang dibongkarnya.
Namun, rakan sekerja ini boleh berkembang menjadi kawan rapat bila makin serasi bersama.
Kawan NGO
Ada kawan yang memang jenis ringan tulang dan sifat prihatinnya sangat tinggi. Asal tahu ada kawan-kawan yang susah, tapi dialah orang pertama yang akan menghulurkan bantuan. Sanggup susah demi nak tolong orang lain.
Asal dengan ada kawan yang sakit, dialah yang akan mula-mula sampai untuk hulurkan bantuan. Ha..kawan macam ni pun susah nak dapat. Kalau jumpa, ‘pegang’ dia erat-erat.
Bukan bermakna kita nak pergunakan diri dia. Tapi dengan adanya dia, kita sedar bahawa andai ada kecemasan, ada yang boleh kita sandarkan harapan. Cuma jangan sesekali mengambil kesempatan di atas kebaikan hatinya ye.
Kadangkala waktu dan kesibukan buat kita jarang jumpa. Tapi bila tahu kita dilanda musibah, dialah antara orang pertama akan hubungi kita dan tawarkan bantuan.
Kawan-Kawan Sama Hobi
Bukan mereka ni tak baik. Kadangkala hari-hari kita jumpa atau berbual di telefon bertanya khabar walau pun bukan sama tempat kerja. Namun, mereka ini dalam kategori kawan hobi. Mereka ini antara kawan yang rapat dengan kita. Cuma kisah kita lebih kepada persamaan minat dan hobi. Kalau sembang pun lebih kepada hobi dan minat yang dikongsi itu.
Bukan mereka ni tak baik, tapi kalau kita dalam kesusahan atau sakit, mereka ini bukan orang yang kita harapkan akan muncul untuk menziarahi kita. Yang akan hulurkan bantuan andai kita dalam kesusahan.
TAPI, kalau ia terkait dengan hobi, ha…dialah orang paling boleh diharapkan. Contohnya kawan hiking. Rapat sebab hobi yang sama. Bila berkait hobi, sanggup dia tolong sedaya upaya.
Kalau kita tak ada duit nak beli sesuatu peralatan, dia sanggup dahulukan duit dia. Sanggup bayar dulu. Minta tolong dia carikan barang untuk hiking yang murah, dia sanggup survery sana sini. Sebabnya dia minat.
Jadi, kalau ada kawan yang sebegini, jangan berharap lebih dan jangan berkecil hati. Kita tahu bila dan apa bentuk perkara yang boleh minta pertolongannya.
Kawan Sejati Sentiasa Doakan Kawannya
Kawan-kawan yang selalu ada saat kita susah, yang sering menbantu kita, pastilah kita anggap kawan sejati. Mereka ini akan gembira bila melihat kita bahagia. Beruntung ada kawan-kawan begitu kerana kadangkala adik beradik sendiri pun tak macam tu.
Lagi satu bagi sis, kawan yang sejati adalah kawan yang sentiasa akan mendoakan kita dalam solat mereka. Kena ingat, kadangkala kawan yang kita rasa rapat, yang hari-hari depan mata, tak semestinya mereka ini akan mendoakan kita. Betul tak?
Ada kawan yang sudah lama kita tak jumpa, dulu memang rapat tapi bila masing-masing bawa haluan sendiri, kita makin renggang. Contoh kawan masa belajar. Namun dia tetap menghargai kita sebagai salah seorang sahabatnya.
Di saat tahu kita ditimba musibah, dia akan bertanya khabar dan yang lebih penting, mendoakan kita dalam diam!
Bagi sis, doa-doa orang lain juga penting kerana kita tak tahu doa siapa yang akan Allah makbulkan. Jadi, tak salah kalau kita minta orang mendoakan kita andai kita dilanda musibah. Dan kawan sejati tak perlu war-warkan dia mendoakan kawannya itu. Cukup antara dirinya dan Allah SWT saja yang tahu. Hanya mengharapkan Allah membalasnya, bukan manusia.
Baca ini juga: Buah Tangan melawat Orang Meninggal
Foto: Pexels
Leave a Reply