Resipi sup tulang daging korban yang Sis Wawa kongsikan kali ini cukup mudah. Ini kerana, tak perlu masukkan banyak perencah sangat kerana daging korban itu sendiri memang dah ‘manis’ rasanya. Jangan sampai bahan-bahan lain ‘menutupi’ rasa manis asli daging korban itu nanti.
Ada ke yang masih ada baki daging korban dalam peti sejuk? Mungkin tahun ini banyak pula dapat agihan daging korban daripada jiran-jiran dan saudara mara.
Sis Wawa pun ada dapat agihan daging korban daripada saudara-mara yang menjalankan ibadah korban tahun ini. Syukur. Merasa lah jugak makan daging korban.
Daging Korban Ada Rasa ‘Manis’ Tersendiri
Kata orang, daging korban memang lain rasanya daripada daging yang kita beli di pasar walau pun daging tempatan segar. Ya, mungkin inilah kelebihan daging korban.
Kebiasaannya menjadi tuntutan kepada umat Islam pada setiap tanggal 10 zulhijjah meraikan Aidil Adha sekali gus menyempurnakan ibadah korban sesuai sunnah Nabi Ibrahim AS.
Umumnya definisi ibadah korban ialah (udhhiyyah) iaitu Binatang ternakan yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT pada Hari Raya haji dan tiga hari Tasyri‘.
Allah SWT memerintahkan ibadah korban seperti mana firmanNya dalam surah al-Kauthar: 2 yang bermaksud:
“Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur”.
Fokus utama ibadah korban adalah untuk melihat sejauhmana keikhlasan dan ketakwaan kita sebagai seorang hamba, sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yan sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu”. (Surah al-Hajj: 37)
Kemeriahan Ibadah Korban
Sambutan hari raya Aidil Adha juga lebih meriah bila selepas solat Aidil Adha, kita ke tempat sembelihan untuk menyempurnakan ibadah korban.
Sis pernah buat ibadah korban untuk satu famili besar sis, kami kongsi seekor lembu. Meriah sungguh. Sekarang dah mudah. Waktu itu kami beli lembu dengan seorang pakcik di kampung dan segala urusan diselesaikannya; bermula daripada proses penyembelihan hinggalah kerja melapah daging. Kami hanya tinggal agihkan daging-daging kepada golongan fakir serta jiran dan saudara-mara.
Sis Wa tidaklah korban setiap tahun, bila ada rezeki lebih buatlah.
Kalau untuk orang pantai timur, biasanya kami masak singgang daging dan daging goreng kunyit. Tapi memandangkan Encik suami orang Selangor, dia lebih suka sup. Jadi, sup pun kami selalu masak.
Tapi masak sup daging korban lebih simple. Tak perlu rencah banyak. Kalau biasa, kita akan tambah kentang, lobak merah dan sebagainya, tapi bagi sis, tak perlu pun. Sebab nanti bahan-bahan itu ‘menganggu’ rasa manis asli daging korban itu sendiri. Itu pendapat sis la ye…
Okay. Kali ni sis nak kongsi resipi sup Tulang simple menggunakan daging korban.
Resipi Sup Tulang
Bahan-bahan:
1kg tulang lembu – bersihkan
7 biji bawang merah kecil – hiris
5 ulas bawang putih – hiris
2 inci halia – hiris kasar
Rempah 4 sekawan (bunga lawang, bunga cengkih, kulit kayu manis, buah pelaga)
6-20 batang cili padi
1 helai daun salam kering
Sedikit daun sup
Daun bawang
Serbuk lada hitam
Bawang goreng
Air
Garam
Gula
Minyak masak
Cara Memasak Sup Tulang Daging Korban:
Nak cepat empuk, masukkan dulu tulang ke dalam periuk tekanan, tanpa air. Masak sekitar 10 minit. Setelah masak, air daging akan keluar.
Cuba juga resipi ini: Kari Daging Kerbau
Di dalam kuali, masukkan minyak masak. Tumis hirisan bawang merah, bawang putih dan halia hingga terbit wangi. Masukkan juga rempah empat beradik dan daun salam. Tumis lagi hingga kekuningan.
Masukkan air rebusan tadi bersama tulang ke dalam kuali. Tambah air biasa jika kuah tak cukup. Kacau sekata.
Masukkan pula serbuk lada hitam secukupnya. Kacau lagi.
Seterusnya masukkan cili padi merah dan juga hirisan daun sup serta daun bawang. Gaul sebati.
Kecilkan api dan biarkan sup mereneh. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Tabur bawang goreng. Biarkan ia mereneh. Lagi lama lagi sedap.
Setelah itu, tutup api dan sedia dihidangkan. Sedap dimakan dengan nasi panas. Ada pula sambal kicap atau sambal belacan. Pehh!!!
azni
August 25, 2022 at 5:12 pmnanti nak follow resepi wawa nih
wawaazwa
August 26, 2022 at 3:35 pmSimple tp sedap.
wawaazwa
October 17, 2022 at 5:10 pmBetul tu.