Resepi ayam bawang mamak Style. Bawang wajib guna banyak kalau nak masak masakan ini. Baru sedap. Dah nama pun ayam bawang kan?
Susah ke nak masak? Nampak macam susah je nak masaknya kan? Tapi sebenarnya tak susah pun. Semua bahan biasanya mesti dah sedia ada di dapur rumah kita.
Kalau makan di restoran Mamak, sis Wawa memang suka ambil ayam bawang. Penuh aroma dan kena dengan selera. Berbanding dengan ayam goreng, memang pilih yang ni.
Cubaan Pertama Masak Sendiri Ayam Bawang Mamak Style
Bila makan, teringin pula nak try masak sendiri kat rumah. Waaaahhh..rupanya mudah je masaknya. Tidaklah serumit yang disangkakan. Tapi memang kena guna bawang merah dalam kuantiti yang banyak. Memang sekarang bawang mahal. Tapi, kalau guna bawang sikit, tak jadilah resepi ni.
Alhamdulillah, cubaan pertama BERJAYA! Horey! Sedap sungguh. Tak tipu. Oleh kerana kami sefamili suka pedas, bubuh lah cili padi. Bila gigit nanti, waduh, lagi ngam!
Kata orang, bila masak sendiri, boleh je kalau kita nak adjust ikut selera kita sefamili. Tak ada salahnya kan?
So, rugi kalau orang tak cuba ye. Resepi ni untuk 3-5 orang makan ye.
Resepi Ayam Bawang Mamak Style
Bahan-Bahan:
½ ekor ayam – bersihkan
3 labu bawang Bombay – hiris halus
2 sudu makan serbuk kari (tak kisah kari apa)
1-2 sudu makan serbuk cili
Sedikit serbuk kunyit
2-3 sudu makan sos tiram
2 sudu sos tomato
3 helai daun pandan – potong
Rempah 4 beradik (kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pala)
Garam secukupnya
Sedikit mushroom seasoning
3 sudu makan madu
Sedikit nisan/gula Melaka
1 sudu makan mentega
Sedikit air masak
Cili padi merah – pilihan
Minyak masak
Bahan Kisar Halus:
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
2 inci halia
Cara Memasak Resepi Ayam Bawang Mamak Style:
Panaskan minyak dalam kuali. Goreng bawang besar yang dah dihiris halus tadi hingga bertukar kekuningan. Angkat dan toskan. Ketepikan.
Lumur ayam dengan garam dan serbuk kunyit. Gunakan minyak yang sama tadi, goreng ayam hingga 3/4 masak. Tapi tak perlu garing sebab kita nak masak lagi sekali nanti. Angkat dan toskan. Ketepikan.
Masukkan bahan yang dikisar halus, rempah 4 beradik dan daun serai. Tumis hingga terbit wangi.
Setelah itu, masukkan pula serbuk kari dan serbuk cili. Kacau sebati. Tambah sedikit air.
Masukkan pula sos tiram, sos tomato dan juga madu. Gaul sekata. Tambah juga nisan/gula Melaka dan garam. Kemudian tambah mushroom seasoning dan madu. Kacau sebati.
Masukkan ayam yang sudah digoreng tadi dan gaul sebati. Semak rasanya. Kalau perlu, masukkan garam secukupnya.
Boleh cuba resepi ini juga: Nasi ayam Claypot
Setelah itu, bolehlah masukkan sedikit mentega dan gaul.
Akhir sekali, tambahkan sedikit cili padi (pilihan) dan bawang yang sudah digoreng tadi. Tutup api. Tak perlu gaul. Bila nak makan nanti baru gaul.
Siap resepi ayam bawang mamak style! Sedap makan dengan nasi putih panas-panas. Selamat mencuba ye! Nanti komen sedap ke idokkk! 🙂
Cuba resepi ini juga: 8 Resepi Ayam Bakar Guna Air Fryer
2 Tip Cuci Ayam Supaya Tak Berbau
Ayam sememangnya memiliki bau tersendiri. Kalau tak dicuci betul-betul, akan rasa hanyir dan boleh buat ‘mati selera’. so, sangat penting untuk pastikan ayam dicuci bersih supaya hilang bau dan lendirnya. Dua tip ini boleh korang cuba dan memang berkesan.
Tip 1: Cuka Makan
Selepas cuci dengan air biasa, rendam ayam dengan sedikit cuka makan. Ia boleh membantu menghilangkan lendir-lendir pada ayam yang buat ia berbau. Selepas 10 minit, bilas dengan air bersih.
Tip 2: Tepung Gandum
Selepas cuci bersih, bubuh sedikit teoung gandum dan gaul sebati. Biarkan seketika. Barulah dicuci bersih dengan air biasa.
Tip 3: serbuk Kunyit
Lepas cuci, tabur sedikit serbuk kunyit. Gaul sebati dan biarkan seketika. Selepas itu cuci bersih menggunakan air biasa. Ia juga boleh bantu hilangkan bau ayam yang tak selesa itu. Cuma, nanti ayam akan ada kesam-kesan kuning serbuk kunyit lah ye.
Selamat mencuba!
Netty Ah Hiyer
October 25, 2023 at 11:13 amSedap betul ni.. tq kak resepi.. boleh try nanti.