Bubur nasi daging ini mudah saja membuatnya. Campak-campak dah jadi. Ye ke? Hehe. Betul lah tu. Maksud sis Wa, tak serumit yang disangkakan.
Memandangkan anak Sis Wa masih dalam pantang selepas menjalani operasi untuk penyakit pilonidal Sinus, jadi sis masakkan bubur nasi untuknya. Dah lah dia susah nak makan sebab banyak ‘ulser’ dalam mulut. So, kenalah masak makanan lembut untuk dia.
Sis juga gunakan beras khas untuk masak nasi air, yang diberikan oleh seorang kawan. Dia beli waktu balik Kelantan. Minyak pun sis guna minyak kelapa dara untuk tumis. Aromanya memang lain macam. Kiranya versi sihat la ni yek..)
Kenangan Dengan Minyak Kelapa
Bila cakap tentang minyak kelapa, teringat zaman kecil dulu bila sis Wa duduk dengan arwah tok dan tokki. Zaman dulu, orang masak (tanak) sendiri minyak kelapa kat rumah. Tak payah nak beli macam sekarang.
Selain digunakan untuk memasak, ia juga dilumurkan pada rambut untuk menghitam dan melebatkan rambut.
Tappiiiii….Mak ai! Baunya jangan cakaplah….! Sis takkan pakai sendiri kecuali tok akan lumurkan secara paksa. Tengok syok tengok TV, tiba-tiba tangan tok dah sampai ke kepala. Kata tok, kena rajin pakai, baru rambut lawa. Itu petua orang dulu lah ye.
Tapi, sis paling suka kalau tok goreng ikan guna minyak kelapa. Wangi lain macam aromanya. On the spot perut rasa lapar tau..
Sekarang susah dah nak dapat minyak kepala atau minyak kelapa dara kan? Nak beli, harganya boleh tahan mahalnya. Lagi pula. kadang yang beli di pasar raya tak sama dengan yang ditanak sendiri. Entahlah.
Okaylah. Berbalik pada resepi kita ye. Bubur nasi daging ni mudah je nak masaknya tapi dijamin sedap tau! Korang cubalah sendiri ye!
Resepi Bubur Nasi Daging
Bahan-Bahan:
2 cawan kecil beras – cuci, rendam dan toskan
150gm daging – dihiris nipis
½ batang lobak merah – hiris halus
1 biji ubi kentang – hiris halus
Sedikit daun bawang – hiris halus
Sedikit daun sup – hiris halus
1 -2 sudu teh serbuk lada hitam
2 sudu serbuk lada sulah
Rempah 4 beradik
Sedikit santan
Garam secukup rasa
2 sudu makan minyak kelapa dara – untuk menumis
Bahan Tumbuk:
1 labu bawang Bombay
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
2cm halia
Cara Membuat Bubur Nasi Daging:
Di dalam kuali, masukkan minyak kelapa dara dan masukkan hirisan daging. Seeloknya daging dihiris kecil. Tumis daging hingga berubah warna dan masak.
Baca ini juga: Resepi Ibu Dalam Pantang
Masukkan pula bahan tumbuk dan rempah empat beradik. Kacau sebati dengan daging hingga daging masak.
Setelah itu, masukkan hirisan lobak merah dan ubi kentang yang dihiris halus. Gaul sebati hingga empuk.
Masukkan pula beras yang telah ditoskan dan gaul rata. Masukkan air secukupnya.
Setelah beras sudah kembang menjadi bubur, tambah kiub ayam. Kacau lagi.
Masukkan pula santan untuk melemakkan dan memekatkan bubur. Biarkan bubur mereneh.
Tambahkan pula lada sulah dan lada hitam. Gaul rata.
Setelah itu, masukkan hirisan daun sup dan daun bawang. Kacau sebati. Biarkan ia mereneh menggunakan api perlahan. Perasakan dengan garam secukupnya.
Angkat dan hidang ikut cita rasa.
Bubur Nasi Daging Sedap Dimakan Dengan Telur Masin
Oh ye, bubur nasi daging ni lagi enak kalau dimakan dengan bahan sampingan lain. Untuk sis, selain ikan bilis dan kacang yang digoreng, telur masin juga antara yang ‘wajib’ ada. Baru rasa ‘sempurna’ hidangan bubur nasi.
Sis Wa suka campurkan telur masin yang sudah direbus dengan bawang, cili padi dan limau nipis. Lagi terangkat tau!
Macam mana nak buat? Senang je.
Bahan Diperlukan:
2 biji telur masin – rebus dan belah empat
20 biji cili padi – hiris nipis
3-5 biji bawang merah – hiris
1 biji limau nipis
Minyak untuk menggoreng
Cara Membuat:
1.Telur masin dibelah empat dan letak ke dalam pinggan.
2.Goreng bawang merah dan cili padi hingga wangi dan keperangan. Angkat.
3.Tabur di atas telur masin tadi.
4.Perah sedikit limau nipis. Siap!!
Boleh cuba juga resipi ini: Resepi Bubur Lambuk Utara
nettyahhiyer
November 25, 2022 at 9:38 pmWah! Sedapnya kak wa.. bolehlah nak cuba nanti.
wawaazwa
December 16, 2022 at 4:51 pmSedap nett…nti cuba…