Sambal udang kentang. Tak perlu gunakan bawang pun dah cukup sedap tau. Tapi, sambal akan lebih garing. Kalau guna bawang, sambal akan lebih ‘berair’ sedikit.
Sambal Udang Kentang:
Bahan-bahan Sambal Udang Kentang:
1kg udang sayur – buang ekor dan kepala
5 biji kentang – potong julienne
10-15 biji cili merah besar
5-7 biji cili padi merah
Sedikit garam
Sedikit serbuk kunyit
1 keping asam gelugur
Minyak masak
Cara Memasak:
- Mula-mula kisar cili merah dan cili padi hingga kancur. Ketepikan.
- Kemudian gaulkan kentang dengan garam dan serbuk kunyit. Panaskan minyak dan goreng kentang. Setelah garing, angkat dan toskan.
- Menggunakan minyak yang sama, tumis cili kisar tadi. Tumis dalam masa yang agak lama hingga cili benar-benar masak. Dalam proses itu, tambah minyak jika perlu kerana untuk membuat cili garing dan masak sepenuhnya, minyak memang agak banyak diperlukan.
- Masukkan juga asam gelugur. Setelah garing dan terbit minyak, masukkan sedikit garam dan gula (jika suka).
- Setelah itu, masukkan kentang yang telah digoreng tadi. Gaul sekata. Siap! mudah je kan….
Boleh cuba resepi ini juga: Sambal Sardin Bunga Kantan
Tak Guna Bawang
Sambal udang kentang yang sis Wa kongsikan kali ini sengaja tak letak bawang. Memang boleh letak tapi sengaja kali ini tak letak bawang.
Tentunya ramai yang suka sambal udang kentang. Sedap dimakan bersama nasi lemak atau dengan nasi putih.
Tapi udang jenis apa kesukaan korang semua? Kalau tanya, Sis Wawa suka udang putih ni. Ada juga yang panggil udang kapas atau udang sayur. Sejak dulu, kami anak beranak suka udang putih saiz kecil ini.
Udang Sayur Sebagai Perencah
Ramai yang panggil udang sayur sebab selalunya digunakan sebagai perencah di dalam masakan berasaskan sayur. Tapi untuk famili Sis Wawa, memang udang ni jadi pujaan berbanding udang lain.
Bukan tak suka udang yang besar-besar seperti udang galah, udang harimau dan sebagainya. Tapi, entahlah. Mungkin sebab suami memang suka udang ini. tapi jangan perkecilkan saiznya tau. Rasanya lebih manis. Ini bagi pendapat sis la ye..
Renyah Sebab Tu Ramai Tak Suka
Sebenarnya memang renyah nak siang udang-udang kecil tu. Waktu mula-mula kahwin, tiap kali suami beli, memang stres. Memang sakit pinggang nak menyiangnya. Tapi lama kelamaan, dah biasa. Tak hairan pun dah.
Biasanya udang ini jadi pilihan untuk dijadikan sambal. Jarang sekali kami guna sebagai perencah dalam sayuran. Selalunya kesukaan kami, sambal cili padi. Tak kira digandingkan dengan tempe ke, kentang ke…semua sedap! Memandangkan suami memang keturunan Minang, tak pedas memang tak sah. Jadi terpaksalah tekak ‘orang ganu’ ni bertahan dengan kepedasan itu.
Apa Khasiat Udang?
Udang mengandungi beberapa vitamin dan mineral yang menggalakkan kesihatan yang baik. Ia adalah rendah kalori dan tidak mengandungi karbohidrat. Walaupun kandungan kolesterol yang terdapat di dalam udang juga tinggi, namun udang juga mengandungi kandungan Omega- 3 dan asid lemak yang tinggi yang baik untuk kesihatan jantung.
Namun, makanlah dalam jumlag yabng sederhana ye. Ini kerana, jika diambil berlebihan boleh menyebabkan:
- Tahap kolesterol dalam tubuh meningkat.
- Tingkatkan risiko kanser payudara.
- Merangsang tekanan darah tinggi.
Kolesterol VS Seafood
Bagaimana nak makan seafood tanpa risau kolesterol tinggi? Ini antara tipnya:
1.Cara penyediaan yang lebih sihat
Ada banyak cara mengolah seafood, tetapi tidak semuanya menyihatkan. Menggoreng misalnya, dapat menyumbangkan lebih banyak lemak trans pada tubuh. Lemak trans yang tinggi merupakan salah satu sebab kolesterol tinggi.
Pilihlah cara memasak yang lebih bersahabat, seperti memanggang, merebus, mengukus, atau menumis dengan sedikit minyak.
Sebolehnya, elakkan pemakaian minyak sayur atau minyak yang sudah berulang kali digunakan. Gunakanlah minyak sihat yang rendah lemak seperti minyak zaitun.
2.Tambahkan banyak rempah
Untuk memperkayakan lagi rasa dan menjaga kualiti seafood yang kita makan, cubalah tambahkan rempah dan bahan ramuan lainnya untuk menggantikan garam. Kaedah ini dijamin memberikan aroma yang memikat selera tanpa memengaruhi kadar kolesterol makanan.
Selain itu, boleh tambah beberapa bahan yang membantu menurunkan kadar kolesterol dalam tubuh. Misalnya bawang putih. Dikatakan Bbawan putih dapat membantu menurunkan kolesterol jahat dan trigliserida. Ia juga memiliki zat antiradang dan antibakteria yang bermanfaat.
Netty
August 29, 2021 at 3:57 pmWow! Sedap ni kak.. nanti nak try.. tahniah kak.. first entri ni.
wawaazwa
September 9, 2021 at 12:56 amsila-sila…hihi..akhirnyaaa
Sahrul nizam
September 10, 2021 at 8:11 amSyabas..menu simple tapi menarik