Ayam masak merah serai ini memang mantap. Selain rasanya yang sangat sedap, aromanya juga sangat wangi, hingga membangkitkan selera.
Selalunya masakan ayam masak merah ini anak-anak yang suka termasuklah anak sis Wawa. Kalau masak, memang tak boleh sikit walau pun kami tiga beranak saja. Mesti dia akan ulang ratah. Anak siapa yang macam anak sis? Baik mengaku. Hihi.
Ayam Masak Merah Senang Masak
Masakan ini juga sangat mudah nak dimasak. Alhamdulillah, rumah sis memang selalu juga tetamu datang. Kalau tak tahu nak masak apa, ada stok ayam dalam peti ais, masakan ini yang akan sis masak. Senang je. Cepat pulak nak memasaknya. Tak adalah tetamu tunggu lama nak makan.
Selain tu, kalau anak-anak saudara datang rumah, ini pun antara yang biasa sis masak. Budak-budak selalunya suka masakan ini. Tapi kena kurangkan pedas lah.
Cuba resipi ini juga: Sambal Ayam Tauhu Petai
Cara Masak Ayam Masak Merah
Ayam masak merah ini ada macam-macam cara masaknya. Sis ingat lagi, awal-awal belajar masak, sis suka tumis rempah empat sekawan (kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih, bunga lawang) dulu, baru masukkan bawang. Tapi tak tahu kenapa, sekarang sis lebih suka kalau tak bubuh rempah tumis empat sekawan tu. Entahlah. Selera dah makin berubah selari dengan faktor usia..ahhahaha.
Ada juga yang suka masukkan ayam terus dan biar ia mereneh di dalam kuah hingga ayam masak sepenuhnya. Tapi sis lebih suka ayam itu digoreng dahulu sedikit. Bila anak dan suami pun suka cara itu, maka sis teruskan je lah.
Selain nasi putih, ayam masak merah serai ini juga boleh dijadikan lauk untuk nasi berperisa sepeti nasi hujan panas. Terpulang pada selera kita.
Ada ayam masak merah yang tak masukkan serai. Tapi untuk sis, lebih suka ayam masak merah guna serai kerana menambah aroma dalam masakan itu. Baunya pun dah boleh buat selera kita terbuka. Peh!
Okaylah. Ini resipi dan cara masak ayam masak merah serai versi sis ye. Selamat mencuba!
Resipi ini juga best: Daging Dendeng Balado
Resepi Ayam Masak Merah Serai:
Bahan-bahan:
10-12 ketul ayam – lumur dengan garam dan kunyit
1 tin kecil tomato puri
Sedikit sos cili
2 sudu makan sos tomato
1 batang serai – ketuk
Garam dan gula
1 Batang cili merah – hiris memanjang
2 biji tomato – belah 4
1-2 sudu cili kisar
Minyak masak
Bahan Kisar:
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1-2 inci halia
Cara Memasak:
Ayam dibersihkan dengan tepung gandum untuk menghilangkan hanyir. Sis juga akan buang kulit ayam kerana ia mengandungi kolesterol yang tinggi. Tapi tak dinafikan, kulit ayam memang sedap. Tapi kena cuba elakkan ye!
Setelah ayam dibersihkan dan ditoskan, panaskan minyak dalam kuali. Goreng dahulu ayam yang telah dilumur garam dan serbuk kunyit itu separuh masak. Angkat dan toskan.
Tinggalkan sedikit minyak bekas gorengan ayam tadi di dalam kuali. Setelah itu, masukkan bahan kisar tadi, diikuti cili kisar dan tumis hingga terbit bau. Masukkan juga serai. Tumis lagi.
Masukkan tomato puri dan kacau lagi. Setelah itu, masukkan sos tomato dan sos cili. Gaul dari semasa ke semasa hingga kuah pecah minyak. Tomato puri membuatkan kuahnya nampak lebih cantik warna merahnya.
Masukkan hirisan tomato dan cili besar merah.
Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Masukkan ayam yang telah digoreng dan gaul sebati.
Siap!
Netty Ah Hiyer
August 11, 2022 at 5:20 pmSedap ni kak Wa.. saya tak pernah lagi masak ayam masak merah guna sos. Nanti bolehlah nak cuba.. nampak simple nak buat.
wawaazwa
August 12, 2022 at 4:21 pmSedap nett. anak-anak mesti suka..sebab tak pedas sangat.