Pilonidal Sinus, Jangan Ambil Mudah, Boleh Berulang!

Pilonidal Sinus, Jangan Ambil Mudah, Boleh Berulang!

Pilonidal Sinus, apa itu? Dengar nama pun pelik. Biasanya kalau sebut ‘sinus’, kita akan kaitkan dengan bahagian hidung, tapi ini bukan.

Ia merujuk kepada lubang kecil atau terowong (tunnel) di dalam kulit, yang terjadi di punggung, di atas celahan punggung itu. Ia kadangkala tak ada apa-apa simptom pada peringkat awalnya.

Sebenarnya sis Wa pun tak tahu pun tentang penyakit itu sehinggalah anak bujang sis sendiri mengalaminya.

Pada mulanya dia mengadu sakit di bahagian atas celahan punggung. Waktu itu, sis ingatkan dia penat dan sakit urat. Al maklumlah, dia baru balik bertugas di SUKMA. Anak sis ni ambil jurusan Terapi Sukan di sebuah kolej komuniti, dia terpilih untuk bertugas mengurut atlet-atlet SUKMA Sarawak masa tu.

Perlu Dibedah Segera

Pilonidal Sinus, Jangan Ambil Mudah, Boleh Berulang!

Bila dia mengadu sakit. Sis pun apa lagi, tonyoh-tonyoh la bahagian itu dengan siku. Ingatkan sakit urat. Kemudian dia balik asrama. Selang sehari, dia telefon bagitahu, dia dah tak boleh jalan dan tidur pun kena meniarap. Sebabnya bahagian atas tulang punggungnya itu dah bengkak, merah dan bernanah macam bisul.

Risaulah hati ibu ni. Terus minta dia ke klinik kesihatan dan dihantar oleh pihak kolej. Dari klinik, dia dihantar pula ke hospital Banting (yang berdekatan dengan kolejnya). Menurut doktor, dia perlu dibedah segera.

Sepatutnya dia terus kena masuk wad tapi dia mohon balik. Sebabnya dia memikirkan jauh sis dan suami nak jengok dia nanti. Oh anak..sentiasa fikirkan keselesaan ibu ayahnya. Tambahan dia sedar, ayahnya sekarang tak larat sangat nak drive jauh. Jadi, niatnya nak pindah ke hospital Shah Alam. Dekat dengan rumah.

Melihatkan keadaannya yang dikira sudah teruk, sis ambil keputusan untuk menghantarnya ke Ara Damansara Medical Centre. Syukur sangat sebab dia ada medical card. Doktor bagitahu, anak sis menghidap pilonidal sinus dan ternyata memang perlu dibedah segera.

Kata doktor lagi, untuk jadi teruk seperti yang dialami saat itu (bengkak dan bernanah), ia sebenarnya ambil masa juga. Bila ditanya pada anak, rupanya dah lama dia sakit tapi bila tak nampak apa-apa kesan, dia buat ‘dono’ je lah. Sebabnya sakit itu datang, kemudian hilang. Dia pun ingat sakit tu biasa-biasa je.

Oh ye. Dengar perkataan ‘sinus’, hairan juga bila terjadi di bahagian punggung. Biasa dengar sinus di bahagian hidung kan Hinggakan ada kawan-kawan yang bertanya, apakah anak sis operate hidung? Oh tidak, bukan hidung…bontot! Kalau hidung, nanti terus jadi oppa kpop! Hehe..

Dua kali Pembedahan

Pilonidal Sinus, Jangan Ambil Mudah, Boleh Berulang!

Pembedahan pertama untuk pilonidal sinus ini adalah pada 30hb Oktober 2022. Luka itu umpama ditoreh dan tak dijahit. Doktor keluarkan nanah sebanyak tiga cup macam cup kita minum ubat batuk tu…Bayangkan bila nak cuci/dressing, meraung dibuatnya. Setiap hari kena ulang alik ke hospital untuk dressing.

Doktor awal-awal dah cakap, terpaksa buat pembedahan kali kedua untuk keluarkan semua tu. Pembedahan itu perlu dilakukan dengan kadar segera sebelum ia terus membengkak semula. Akhirnya 17hb November, lagi sekali anak sis dibedah dan kali ini lebih besar lukanya.

Alhamdulillah, doktor kata, dia dah berjaya keluarkan semuanya. Bab ini sis tak reti nak explain sangat. Tapi dalam Bahasa harian, dah korek semua ‘akar’ dan insya-Allah takkan berulang lagi.

Korang tahu tak apa penyakit ini? Meh sis kongsikan serba sedikit info tentang penyakit ini. Memang secara umum, ia terjadi pada orang yang berbadan besar, berbulu dan sering duduk terlalu lama. Tapi, jangan terperanjat, ada juga yang bertubuh kecil yang kena. Entahlah.

Apa Itu Pilonidal Sinus?

Pilonidal Sinus, Jangan Ambil Mudah, Boleh Berulang!
Foto: Terima kasih Healthdirect.gov.au

Foto ini sis ambil daripada lama web https://www.healthdirect.gov.au/.  Memang ada sis ambil gambar luka anak, tapi takkan nak kongsikan kerana itu termasuk di bahagian sulit. Aurat kan… Kalau di hidung ke, di badan ke, bolehlah kongsi lagi kan?

Tapi tak apa, google je “Pilonidal Sinus”, akan berlambak keluar foto-foto berkaitan penyakit ini.

Sinus pilonidal (PNS) ialah lubang kecil atau terowong di dalam kulit. Ia boleh diisi dengan cecair atau nanah, menyebabkan sista (cyst) atau abses terbentuk. Ia berlaku  di bahagian atas punggung.

Sista pilonidal ini biasanya mengandungi rambut, kotoran, dan serpihan. Ia boleh menyebabkan kesakitan yang teruk dan selalunya boleh dijangkiti. Jika ia dijangkiti, ia boleh mengeluarkan nanah dan darah serta berbau busuk.

PNS adalah satu keadaan yang memberi kesan terutamanya kepada lelaki dan juga biasa berlaku pada orang dewasa muda. Ia juga lebih biasa pada orang yang banyak duduk, seperti pemandu teksi.  Sumber: website Hello Doktor 

Apakah yang meningkatkan risiko terhadap sista pilonidal?

Seseorang itu mungkin mempunyai risiko yang tinggi sekiranya anda mempunyai ciri-ciri di bawah ini:

Lelaki

Umur muda (sista pilonidal lazim berlaku kepada mereka berumur 20 tahun)

Obesiti

Gaya hidup yang kurang aktif

Pekerjaan yang memerlukan untuk duduk yang lama

Bulu roma yang banyak

Rambut atau bulu yang keras atau tebal

Diagnosis dan rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. Sebaiknya berunding dengan doktor untuk maklumat lanjut.

Bagaimanakah Sista Pilonidal Didiagnosis?

Doktor boleh mendiagnosis sista pilonidal bergantung kepada tanda-tanda dan simptom yang ditunjukkan oleh anda. Anda mungkin tidak mengesan apa-apa tanda pada mulanya selain daripada lekukan kecil seakan-akan jerawat pada kulit anda.

Walau bagaimanapun, sekiranya lekukan itu dijangkiti, ia menjadi sista (kantung yang penuh dengan cecair) dengan cepat ataupun bengkak (tisu yang membonjol dan radang di mana nanah terkumpul).

Meskipun begitu, doktor anda akan bertanya tentang:

-Sakit apabila berdiri atau duduk.

-Sista membengkak.

-Kulit yang sakit dan kemerahan sekitar kawasan sista.

-Nanah atau darah yang mengalir daripada bengkak, menyebabkan bau busuk.

-Rambut atau bulu yang terkeluar daripada sista.

-Pembentukan sinus atau lubang, satu ataupun lebih pada kulit

-Demam biasa

Baca ini juga: Ulser Mulut Bayi

Bagaimanakah Pilonidal Sinus dirawat?

Rawatan permulaan bagi jangkitan pilonidal sinus ialah prosedur yang selalu dilakukan oleh doktor. Selepas kawasan yang dijangkiti dibius, doktor akan membuat torehan kecil untuk mengeringkan sista. Jika sista ini berlaku semula, yang mana selalu terjadi, anda mungkin memerlukan prosedur surgeri yang lebih besar untuk membuang sista sepenuhnya.

Selepas pembedahan, doktor anda mungkin memilih untuk:

1.Membiarkan luka terbuka

Mengikut pilihan ini, luka pembedahan dibiarkan terbuka dan dibalut untuk membiarkan ia pulih daripada dalam ke luar. Proses ini menyebabkan masa untuk menyembuh lebih panjang tetapi risiko untuk terjadinya semula adalah rendah.

2.Menutup luka dengan jahitan

Meskipun masa untuk menyembuh lebih cepat melalui pilihan ini, risiko untuk terjadi semula adalah tinggi. Sesetengah pakar bedah membuat torehan ke arah sebelah celahan punggung, yang mana proses untuk sembuh adalah sukar.

Penjagaan luka adalah penting selepas pembedahan. Doktor atau jururawat anda mungkin akan memberikan arahan yang terperinci berkaitan cara-cara menukar balutan, apakah proses penyembuhan yang normal dan bilakah masa yang perlu untuk menghubungi doktor. Anda juga perlu mencukur sekitar kawasan pembedahan untuk mengelakkan bulu daripada memasuki luka.

Perubahan Gaya Hidup Dan Rawatan Sampingan

Langkah di bawah ini membantu anda mengelakkan sista pilonidal:

-Memastikan kebersihan badan.

-Mengurangkan berat badan jika perlu.

-Elak duduk dalam jangka masa yang lama.

Jika anda mempunyai sista pilonidal sebelum ini, anda mungkin ingin mencukur kawasan tersebut selalu ataupun menggunakan produk menghilangkan bulu bagi mengurangkan kadar berlaku semula.

Doakan Cepat Sihat Ye..

Ketika artikel ini sis tulis, anak masih lagi dalam proses penyembuhan selepas pembedahan kedua. Doakan ye semoga anak sis, Muhammad Faris Daniel itu akan cepat pulih dan semoga akan terus sihat lagi selepas ni..aamiin!

 

4 Comments

  1. Ya allah, dapat bayang macam mana nak menjaga jika peakit begini. Sangat bagus info ini…tq sis

    1. Yea… kita ingat biasa2 je…tp lagi serius sebenarnya.

  2. Semoga Muhammad Faris Daniel cepat sembuh dan dipermudah segala urusan. Semoga Sis Wa tabah jadi nurse pada anak sendiri.

    1. Aamiinn..Seriau jugak nak dressing luka dia..tapi terpaksa kuatkan hati..huhu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *