Sambal Tempoyak Bilis Petai

Sambal Tempoyak Bilis Petai

Sambal Tempoyak petai bilis pastinya punya peminat yang ramai. Siapa yang suka? Kita geng!

SAMBAL TEMPOYAK BILIS PETAI 

Sambal Tempoyak Bilis Petai

Bahan-bahan Sambal Tempoyak Bilis Petai:

Sambal Tempoyak Bilis Petai

500 gram tempoyak

1 genggam bilis

1 inci kunyit hidup

2 papan petai – kikis kulit dan hiris

1 keping asam gelugur

20-30 biji cili padi

1 lebar daun kunyit

Garam dan gula

Minyak masak

CARA MASAK  SAMBAL TEMPOYAK BILIS PETAI:

  • Kisar cili padi dan kunyit hidup hingga halus. Kalau tak nak terlalu pedas, boleh tambah cili merah besar dan kurangkan jumlah cili padi tadi. Terpulang pada selera. Setelah itu, campurkan bahan kisar itu dengan tempoyak dalam satu bekas. Gaul sekata. Ketepikan.
  • Panaskan minyak, terlebih dahulu, goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan tos. Ketepikan.
  • Menggunakan minyak yang sama, goreng petai hingga agak masak. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  • Masukkan tempoyak yang telah digaul dengan bahan kisar tadi ke dalam kuali. Tambah minyak lagi jika perlu. Masukkan pula asam gelugur dan hirisan daun kunyit. Tumis hingga naik minyak.
  • Masukkan pula petai yang telah digoreng tadi. Gaul sekata. Perasakan dengan  garam dan gula secukup rasa. Gula diperlukan agak banyak untuk seimbangkan rasa masam tempoyak. Kena sentiasa gaul supaya ia tidak melekat dan hangit di bahagian bawahnya.
  • Setelah masak, tutup api. Setelah agak sejuk, barulah masukkan ikan bilis yang digoreng tadi supaya kekal rangup. Ada orang yang terus masukkan bilis bersama petai dan digoreng sekali tapi untuk sis, jika masukkan ketika masih panas, bilis akan lembek dan tak rangup. Sambal tempoyak bilis petai ini sedap dimakan dengan nasi putih panas-panas.
  • Selain bilis, boleh juga gunakan udang. Sis paling suka guna udang kertas yang warna putih. Rasanya lebih manis.

Boleh cuba resepi ini juga: Sambal Cencaru Belah Belakang

Durian VS Tempoyak?

Sambal Tempoyak Bilis Petai

Makanan ini dianggap antara makanan yang autentik di negara kita. Namun bukan semua memakannya kerana baunya yang menyengat.
Tempoyak diperbuat daripada isi durian yang kemudiannya diperam untuk jangka waktu tertentu. Tempoyak mempunyai rasa yang masam dan bau yang sangat kuat. Ia juga adalah sejenis makanan yang istimewa di Malaysia terutama di Negeri Sembilan dan Pahang.
Ia kemudiannya digunakan untuk memasak pelbagai jenis masakan yang cukup lazat. Misalnya resepi Sambal Tempoyak Bilis Petai yang sis Wa kongsikan ini. Sedap amat tau!!! Rugi tau siapa yang tak makan tempoyak. hihi.
Kalau dulu waktu kecil, sis wa biasa makan tempoyak yang dimasukkan ke dalam budu. Maklumlah, orang Terengganu. Bubuh pula cili padi.
Atau tempoyak biasanya akan di jadikan sambal dengan mencampurkan dengan cili api yang ditumbuk halus dan dimakan dengan ulam-ulaman semasa makan nasi. Pehhh! Makan bertambah-tambah.
Kemudian bila kahwin dengan orang Selangor, mula belajar makan tempoyak versi lain seperti masak lemak cili padi dan sambal tempoyak. Rupanya banyak masakan yang boleh dimasak menggunakan tempoyak.

Khasiat Tempoyak

Adakah makanan tradisional ini berkhasiat? Sudah pastilah berkhasiat.  Ia diperbuat daripada isi durian dan apa khasiat buah durian?

  • Kaya dengan tenaga, mineral dan vitamin. Setiap 100 gram buah ini akan membawa lebih kurang 147 kalori.
  • Buah ini mengandungi kandungan gula seperti fruktosa dan sukrosa yang akan membekalkan tenaga dan menyegarkan tubuh badan. Walaupun ia mengandungi amaun lemak yang tinggi berbanding buah yang lain, ia bebas daripada lemak tepu dan kolesterol.
  • Buah ini kaya dengan serat yang sangat bagus untuk sistem penghadaman. Serat juga akan membantu melindungi mukus di dalam kolon dengan mengurangkan pendedahannya terhadap toksin. Ia dapat membantu menyingkirkan bahan kimia penyebab kanser daripada perut.
  • Buah ini adalah sumber antioksidan vitamin C yang sangat baik dengan kira-kira 33% RDA. Pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin C dapat membantu tubuh badan melawan agen infeksi dan juga radikal bebas yang sangat berbahaya.
  • Buah ini adalah sumber vitamin B kompleks, yang merupakan fitur unik untuk buah seperti niacin, riboflavin, asid pantotenik (vitamin B5), pyridoxine (vitamin B6) dan thiamin (vitamin B1). Vitamin-vitamin ini adalah sangat penting untuk kesihatan tubuh badan kita.
  • Buah ini mengandungi amaun mineral seperti mangan, tembaga, zat besi dan magnesium. Mangan diperlukan oleh tubuh badan untuk menghasilkan enzim antioksidan, superoxide dismutase (SOD). Tembaga diperlukan untuk penghasilan sel darah merah dan zat besi pula diperlukan untuk pembentukan sel darah merah (RBC).
  • Buah ini yang masih segar sangat kaya dengan potasium. Ia adalah penting untuk menambahbaik elektrolit di dalam sel dan cecair tubuh badan sekali gus membantu mengawal tekanan darah dan degupan jantung.
  • Buah ini juga mengandungi kadar asid amino penting yang tinggi, tryptophan atau lebih dikenali sebagai “ubat tidur semula jadi”. Ia akan menjadi serotonin dan melatonin melalui proses metabolisma yang merupakan dua neurokimia yang sangat penting dalam pengawalan perasaan gugup dan juga waktu tidur.

Tempoyak Mengandungi Kuman Baik

Mungkin selepas membaca apa khasiatnya, ramai yang mula-mula berjinak untuk makan tempoyak.
Kajian menunjukkan bahawa, tempoyak juga kaya dengan kuman baik probiotik jenis asid laktik bacilli (LAB) iaitu spesis ‘Lactobacillus plantarum’.
Bakteria ini mempunyai ketahanan daripada penghadaman oleh asid perut (pH 2.0) dan garam hempedu dalam usus (0.3%). Ia juga melekat kuat pada dinding usus dan kajian menunjukkan bakteria L.plantarum ini boleh mengurangkan proliferasi sel-sel kanser adenocarcinoma.
Kuman baik probiotik yang lain yang ada di dalam tempoyak adalah :
. Lactobacilli casei
. Lactobacilli rhamnosus
Ini adalah fakta yang sangat menarik dan sepatutnya mengujakan kita untuk selalu makan tempoyak semasa makan nasi dalam pemakanan seharian kita.
.
Tempoyak adalah makanan penambah selera yang sangat baik dan selalunya dengan makan sambal tempoyak, maka kita akan makan ulam-ulaman juga. Dengan itu kita mendapat faedah kesihatan daripada makan ulam-ulaman itu.
.
Bersederhanalah dalam makan tempoyak kerana ia tinggi garam dan durian pula mempunyai kandungan gula yang agak tinggi.

2 Comments

  1. Mesti harum semerbak dapur masa tumis tempoyak ni. Mesti sedap ni, tengok pun dah tahu.

    1. Tempoyak tak pernah mengecewakan.hehe

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *